top of page

PENYALURAN PEMBIAYAAN RM 21 JUTA BAGI MEMPERKASA USAHAWAN FRANCAIS

  • 5 Ogo
  • 2 min membaca

PULAU PINANG – Penyaluran pembiayaan perniagaan francais berjumlah RM

21 juta telah diberikan kepada 69 usahawan francais Bumiputera bersempena program

Bizfrancais 2026 anjuran Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) yang berlangsung serentak

dengan Penang International Halal Expo (PIHEX) 2026.



Pembiayaan tersebut merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan Pernas dalam

memperkukuh ekosistem francais negara melalui penyediaan akses pembiayaan yang lebih

menyeluruh kepada usahawan Bumiputera. Inisiatif ini bertujuan membantu usahawan

memulakan, mengembangkan dan memperkukuh perniagaan francais secara mampan, sekali

gus meningkatkan pemilikan ekuiti Bumiputera dalam industri francais.


Seramai 69 usahawan francais bumiputera telah menerima pembiayaan antara RM40,000

hingga RM1 juta bagi setiap perniagaan. Kesemua penerima akan mengembangkan

perniagaan francais mereka di wilayah utara Semenanjung Malaysia, meliputi Pulau Pinang,

Kedah, Perlis dan Perak.




Program Bizfrancais 2026 yang berlangsung selama tiga hari bermula 24 hingga 26 Julai 2026

telah menghimpunkan 25 jenama francais di bawah bimbingan Pernas. Antara usahawan

francais yang terlibat termasuklah usahawan di bawah jenama Bonda Learning Centre,

Bateriku, City Coin Laundry, Genius Aulad, Yumi Food dan XG Coating.


Penganjuran Bizfrancais 2026 bersempena PIHEX 2026, yang menampilkan lebih 200 reruai

pameran daripada pelbagai sektor industri halal, mewujudkan platform strategik yang

menghubungkan ekosistem francais dan halal negara. Sinergi ini dijangka memperkukuh daya

saing usahawan, menggalakkan kolaborasi industri serta memperluas peluang pertumbuhan

dan pengembangan perniagaan ke pasaran yang lebih luas.



Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Nasional Berhad, Datuk Nor Azam M. Taib, berkata

Pernas terus komited memperkasakan pembangunan usahawan francais Bumiputera menerusi

penyediaan pembiayaan, pembangunan kapasiti dan sokongan pembangunan perniagaan

secara menyeluruh.


Pada tahun 2025, Pernas telah menyalurkan pembiayaan berjumlah RM16.28 juta kepada

usahawan francais Bumiputera. Bagi tahun 2026, kami menyasarkan untuk membantu 150

usahawan dengan anggaran pembiayaan keseluruhan sebanyak RM41 juta. Sasaran ini

mencerminkan komitmen berterusan Pernas dalam melahirkan lebih ramai usahawan francais

Bumiputera yang berdaya saing, berdaya tahan dan mampu mengembangkan perniagaan ke

peringkat lebih tinggi," katanya.



Selain menawarkan akses kepada pembiayaan, Bizfrancais 2026 turut menyediakan platform

pembangunan usahawan melalui khidmat nasihat, program pembangunan perniagaan ke arah

francais, latihan keusahawanan serta peluang jaringan perniagaan bersama pemain industri.

Program ini turut mengetengahkan pelbagai peluang francais dalam sektor makanan dan

minuman, pendidikan, kesihatan, kecantikan, perkhidmatan dan teknologi.



Selaras dengan agenda memperluaskan pembangunan industri francais di seluruh negara,

Pernas akan meneruskan penganjuran siri Bizfrancais di beberapa lokasi strategik termasuk

Sabah dan Sarawak pada September 2026, bagi memastikan lebih ramai usahawan berpotensi

mendapat akses kepada pembiayaan, pembangunan kapasiti dan peluang mengembangkan

perniagaan melalui model francais.



 
 
 

Komen


Featured Posts
Recent Posts
Archive
Search By Tags
Follow Us
  • Facebook Basic Square
  • Twitter Basic Square
  • Google+ Basic Square
bottom of page